Sorong anak masuk ladang getah- pasangan suami isteri bawa dua anak ke ladang getah demi mencari sesuap nasi.

Pasir Mas: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Begitu peribahasa sesuai dengan ketabahan pasangan suami isteri yang sanggup membawa dua anak mereka ke ladang getah demi mencari sesuap nasi.

Pasangan berkenaan, Zawawi Mat Zain, 34, dan isteri Nur Huzairiefah Huzaimi, 28, membawa cahaya mata mereka, Muhammad Ridhuwan, 7, serta anak istimewa yang menderita sind.rom Down, Muhammad Fikri Idham, 4, menggunakan kereta sorong hampir setiap hari.

Bagaimanapun, anak kecil itu seperti lali dengan suasana ladang yang dipenuhi nyamuk, malah sekali sekala berlari-lari bagaikan berada di taman permainan walaupun hanya hutan tempat ibu bapa mereka mencari rezeki.

Zawawi berkata, mereka tiada pilihan selain membawa anak untuk menoreh kerana tidak mampu membayar upah penjaga dan bimbang jika mereka berada di rumah yang jauh dari penempatan lain.

“Ada masanya jika mereka tidak mahu berada di dalam kereta sorong, kami bentang tikar sebagai tempat berehat. Saya seb4k apabila melihat mereka menunggu kami bekerja empat atau lima jam sehari, sehingga terlelap di tikar usang atau berhimpit di dalam kereta sorong.

“Namun, kami bersyukur masih ada rezeki bekerja walaupun sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Kulim, Bukit Tuku, di sini.

Hadir sama wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan kewangan selain menjadikan keluarga itu sebagai kumpulan asnaf di bawah seliaan mereka.

Zawawi berkata, dengan mengambil upah menoreh mereka memperoleh RM600 sebulan selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 bagi anak istimewa mereka, Muhammad Fikri Idham.

Setiap minggu, dia dan isteri membawa Muhammad Fikri menaiki motosikal sejauh 62 kilometer (km) pergi dan balik ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, bagi mendapatkan rawatan susulan kerana masalah jantung.

“Kami melepaskan kereta yang ada empat tahun lalu, kerana tidak mampu membayar ansuaran bulanan dan bergantung kepada motosikal termasuk untuk ke ladang getah sejauh 10km.

“Jika ke hospital kami biasa berpanas dan berhujan di dalam perjalanan demi memastikan anak istimewa mendapat rawatan sebaiknya.

“Walaupun dua anak kami dibesarkan serba kekurangan, saya harap kasih sayang mereka cukup demi membuktikan betapa berharga mereka buat saya dan isteri,” katanya yang ada masanya tidak dapat bekerja kerana pening, kesan kem4lang4n 12 tahun lalu.

Zawawi berkata, dia bersyukur kerana mendapat rumah hasil bantuan daripada Majlis Agam Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (Maik) yang dibina di atas tanah pemberian seorang hamba Allah buat mereka sekeluarga.

Sumber : HM


Apa kata anda?

Be the first to comment on "Sorong anak masuk ladang getah- pasangan suami isteri bawa dua anak ke ladang getah demi mencari sesuap nasi."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*